SERDANG | Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan tahniah kepada menteri-menteri dan kerajaan negeri yang dipimpin gabungan itu.
Beliau berkata percaya menteri-Menteri dan kerajaan-kerajaan negeri di bawah PN telah melakukan yang terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.
“Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan di atas pencapaian-pencapaian yang telah terhasil.
“Saya telah rakamkan penghargaan dan tahniah kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan MITI atas kejayaan menarik pelaburan ke Malaysia di awal ucapan saya tadi,” katanya ketika berucap di Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yang Teck Lee; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Datuk Seri DR Jeffrey Kitingan serta kepimpinan yang lain.
Dalam pada itu, Muhyiddin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan yang telah memberikan tumpuan sepenuh masa kepada usaha menjamin akses murid kepada pendidikan sepanjang tempoh pandemik menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), saluran Didik TV dan platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia.
Katanya, cabaran selepas pandemik tentunya lebih hebat di mana murid-murid memerlukan suatu tempoh masa untuk catch-up dalam pembelajaran serta menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran secara hybrid atau pun bersemuka sepenuhnya.
“Walau apa pun cabarannya, pendidikan mestilah dijadikan fokus utama kerajaan dalam menyediakan modal insan yang berdaya saing yang boleh memacu pembangunan dan kemajuan negara di masa hadapan, lebih-lebih lagi dalam rangka kita untuk menstruktur semula ekonomi dalam era Industri 4.0 yang sememangnya memerlukan tenaga kerja yang berdaya saing, berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Muhyiddin turut mengucapkan tahniah juga kepada Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, di atas kejayaan menggubal Undang-Undang Anti Gangguan Seksual.
Katanya, pelaksanaan Program Wanita Bangkit, Skuad WAJA, MyKasih Kapital, Kit Asas Kebersihan Wanita (Kit-Seri), Bantuan Khas Ibu Tunggal, Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita dan Penubuhan Majlis Wanita Negara.
“Perikatan Nasional memandang tinggi peranan wanita di dalam pembangunan negara dan prihatin akan kebajikan kaum wanita.
“Semoga dengan penggubalan undang-undang untuk melindungi hak wanita dan pelaksanaan program-program untuk memelihara kebajikan kaum wanita di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat pimpinan Rina selaku Menteri telah membantu untuk memartabatkan kedudukan kaum wanita di negara ini,” katanya.
Muhyiddin juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan atas pencapaian cemerlang atlet-atlet negara dalam beberapa temasya sukan di peringkat antarabangsa baru-baru ini.
Beliau berharap pembangunan sukan di Malaysia akan terus menyerlah di bawah kepimpinan Faizal.
“Begitu juga dengan program-program kepimpinan belia dan latihan kemahiran untuk belia yang mesti diberikan tumpuan utama dalam usaha kita untuk menggilap bakat anak muda di negara ini sebagai penyumbang besar kepada pembangunan dan kemajuan negara di masa hadapan,” katanya.
Muhyiddin juga ingin mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri, di atas kejayaan menggubal Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dan pelanjutan tempoh kuatkuasa Sub-Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang telah diluluskan oleh Parlimen dalam sidang yang lalu.
Beliau memuji tindakan tegas pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri dalam mencegah jenayah dan memelihara keselamatan negara yang merupakan suatu elemen penting dalam
memberikan rasa selamat kepada rakyat.
Muhyiddin juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air di atas usaha-usaha pihak kementerian untuk melestarikan alam sekitar di Malaysia.
Katanya, secara khusus beliau menghargai usaha-usaha yang dilaksanakan oleh KASA di bawah kepimpinan Tuan Ibrahim dalam membantu menyelesaikan masalah air di negeri Kelantan.
“Ini termasuk melaksanakan projek penggantian paip-paip lama dan meningkatkan kadar liputan bekalan air di Kelantan dengan peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) menerusi pelaksanaan empat projek Loji Rawatan Air (LRA) di negeri Kelantan,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, yang telah berjaya menyelesaikan krisis bekalan bahan api untuk penjanaan elektrik negara dengan meningkatkan hubungan dan membuat perjanjian dengan Indonesia.
Katanya, ini bagi pembekalan arang batu, memperkenalkan beberapa teknologi dan inisiatif terkini yang lebih mesra alam untuk penjanaan tenaga elektrik masa hadapan negara seperti turbin gas tersedia hidrogen, program peluasan solar tenaga hijau untuk kegunaan industri dan domestik.
Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan khususnya di atas usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian untuk memastikan jaminan keselamatan makanan negara (food security) di Malaysia sentiasa berada di tahap yang terbaik menusi pelaksanaan Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan.
Katanya, sektor pertanian adalah satu sektor yang amat penting kepada negara kita dan saya berharap MAFI di bawah kepimpinan Ronald akan dapat terus memajukan sektor pertanian negara dengan penggunaan teknologi baharu yang dapat meningkatkan mutu dan produktiviti hasil pertanian.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di atas usaha-usaha yang dilakukan untuk memartabatkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menyebarkan syiar Islam menerusi pelbagai program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar, atas usaha-usaha yang dilakukan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara luar dan meningkatkan hubungan kerjasama multi-lateral khususnya dengan negara-negara serantau untuk memelihara kepentingan Malaysia dalam hubungan serantau dan antarabangsa.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Saifuddin yang telah menyuarakan pendirian tegas Malaysia berhubung konflik di Myanmar baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di atas kejayaan menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12.
Katanya, penubuhan myDigital Corporation dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, melancarkan National Oil and Gas Services and Equipment Industry Blueprint, menggubal Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR)Negara dan melaksanakan Pelan Pemulihan FELDA yang melibatkan penstrukturan semula kewangan FELDA melalui pemberian sukuk bernilai RM9.9 bilion dan penyelarasan hutang pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang memanfaatkan 112, 638 orang peneroka.
“Ini adalah antara sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional kepada FELDA dan peneroka FELDA di seluruh negara.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) khususnya di atas usaha-usaha yang telah dilakukan dalam pengurusan bencana negara dan penyaluran bantuan kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin merakamkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Datuk Bentara Kanan Datuk Ahmad Yaakob di atas kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan 82 peratus daripada akujanji di dalam Manifesto PRU-14 sehingga bulan Mei 2022.
Katanya, ini adalah suatu pencapaian yang membarangsangkan dan boleh dikatakan on-track kerana ianya dicapai dalam tempoh 4 tahun daripada keseluruhan 5 tahun tempoh penggal pilihanraya.
“Saya percaya dalam tempoh masa yang masih berbaki, kerajaan Negeri Kelantan akan berjaya melaksanakan 100% janji di dalam manifesto, katanya.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Samsuri Ahmad, Menteri Besar Terengganu, di atas kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan dasar dan inisiatif prihatin rakyat termasuk menyediakan tapak rumah atau rumah untuk rakyat negeri Terengganu yang layak.
“Saya dimaklumkan sebanyak 18,124 lot tanah telah diluluskan di bawah Rancangan Tanah Berkelompok Tapak Rumah, menyediakan wad kelas 3 secara percuma di 6 buah hospital kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM4.2 juta, menyediakan bantuan lesen motosikal bernilai RM300 untuk belia berumur 16-40 tahun, mewujudkan 16,000 peluang pekerjaan baharu sehingga bulan Jun 2022, memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat untuk membantu golongan B40 membina rumah di atas tanah sendiri, dan menyediakan kad sejahtera dengan nilai bantuan RM500 setahun kepada 18,991 orang penerima untuk mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata ketika beliau jadi Perdana Menteri dulu, Datuk Seri Dr Samsuri datang berjumpa saya. Beliau kata di zaman PH bayaran tunai Petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu dipotong 25% dan bayarannya selalu lewat.
“Saya buat keputusan setuju bayaran tunai petroleum kepada kerajaan Negeri Terengganu dibayar 100% tanpa ada potongan. Ini juga adalah antara sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional kepada rakyat Negeri Terengganu,” katanya.
Muhyiddin juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, yang telah berjaya mentadbir negeri Kedah dengan baik sejak peralihan kepimpinan kerajaan negeri pada tahun 2020 yang lalu.
Katanya, kejayaan mentadbir negeri Kedah dengan cekap ini terbukti apabila Kedah berjaya mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM20 bilion pada suku kedua tahun ini
yang saya diberitahu merupakan angka tertinggi di Malaysia setakat ini.
“Kejayaan ini pastinya akan dapat membantu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di negeri Kedah dan meningkatkan hasil negeri yang boleh disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif prihatin rakyat,” katanya.
Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah di atas kejayaan meningkatkan kutipan hasil negeri Sabah sebanyak RM5.4 bilion pada tahun 2021.
Katanya, ini adalah kali pertama dalam sejarah Sabah sejak merdeka dan membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, hasil negeri Sabah melepasi paras RM5 bilion.
“Saya masih ingat kali pertama saya mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah melalui sidang maya.
“Antara permintaan beliau kepada saya selaku Perdana Menteri pada waktu itu ialah supaya Petronas menunaikan sepenuhnya tanggungjawab membayar Cukai Jualan Negeri, iaitu cukai yang baharu diperkenalkan oleh negeri Sabah untuk produk berasaskan minyak dan gas.
“Saya usahakan sebaiknya permintaan tersebut dan Alhamdulillah, saya gembira bila mendapat laporan bahawa Cukai Jualan Negeri yang dibayar oleh Petronas adalah antara penyumbang utama peningkatan hasil Negeri Sabah bagi tahun 2021,” katanya.
Muhyiddin juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan Negeri Sabah kerana dengan peningkatan hasil tersebut, Kerajaan Negeri sabah telah dapat melaksanakan inisiatif prihatin rakyat seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, di bawah inisiatif ini, Kerajaan Negeri Sabah akan menyediakan 1,500 Rumah Mesra SMJ setiap tahun untuk rakyat dalam kategori miskin dengan anggaran kos RM125 juta setiap tahun.
“Semua pencapaian ini membuktikan bahawa Perikatan Nasional mampu untuk mentadbir negara dan negeri dengan baik dan cemerlang,” katanya.