Kuala Lumpur | Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh menasihatkan penyokong-penyokong Terengganu agar menjaga tingkah laku serta berdisiplin semasa menyokong pasukan pada final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September ini.
Katanya, beliau tidak mahu melihat sebarang insiden yang tidak diingini serta mengharapkan penyokong Terengganu mampu menerima apa jua sebarang keputusan perlawanan di pentas akhir.
“Kepada penyokong-penyokong Terengganu, ketika teruja berikan sokongan kepada pasukan, saya menyeru agar mereka sentiasa berdisiplin. “Apa-apa yang berlaku, kita sebagai orang timur yang punyai budaya menarik, hendaklah menjaga tingkah laku.
“Jika keputusan kurang memihak kepada kita, berundur secara baik dan jangan buat sebarang perkara yang kurang menyenangkan, itu sahaja seruan saya kepada semua penyokong yang saya sayangi,” katanya.
Kali terakhir skuad Penyu beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2011, di mana mereka muncul juara menewaskan Kelantan 2-1 yang juga kali terakhir Terengganu muncul juara Piala FA.
Sebagai rekod, Terengganu muncul juara sebanyak dua kali termasuk pada tahun 2000 serta muncul naib juara pada 1999 dan 2004.
Selain itu, Ab Rasid mengakui pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang perlawanan final itu sememangnya tepat serta menepati reputasi prestij aksi final.
Malah, beliau memberikan penghargaan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana berjaya mendapatkan venue berkenaan sebagai pentas akhir kerana terdapat banyak kemudahan yang memberikan keselesaan kepada penyokong-penyokong.
“Sememangnya semua peminat Terengganu memang tertunggu-tunggu hendak datang ke sini bagi menyaksikan perlawanan tersebut selepas 11 tahun tidak menjenguk ke Bukit Jalil.
“Kalau kita tengok keadaan di sini, situasinya sangat sesuai bagi adakan perlawanan akhir melihatkan kemudahan yang terdapat di Stadium Nasional,” katanya.
Terengganu mara ke pentas final selepas menewaskan Selangor FC menerusi penentuan penalti di separuh akhir dengan kemenangan 4-2 a selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar dan tambahan masa. SUMBER: HARIAN METRO