PUTRAJAYA | Jentera Wanita Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata desas-desus mengenai PRU sudah semakin hampir memang sudah didengari walaupun proses mengembalikan mandat kepada rakyat boleh boleh diadakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.
“Semakin lama semakin dekat kerana kita tahu secara automatik, paling lewat pun (PRU perlu diadakan) menjelang Julai tahun depan, iaitu kurang setahun dari sekarang. Dari segi Wanita PN, kita sudah pun bersedia.
“Jentera turun sebagai satu nama, Perikatan Nasional. Maksudnya bukan hanya Srikandi BERSATU, Dewan Muslimat PAS atau Wanita GERAKAN saja.
“Kita turun dengan membawa (nama) Wanita Perikatan Nasional,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM, di sini hari ini.
Rina berkata, Wanita PN sudah turun padang untuk bersama-sama menyalurkan bantuan tanpa mengira pegangan politik penerima sejak negara dilanda pandemik COVID-19 dua tahun lalu.
“PN pun baru dua tahun penubuhannya, janji kita adalah bantu rakyat. Dari segi jentera, kita sudah bergerak bersama dan insya-Allah kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya.