KUALA LUMPUR | Rekod penamat pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing di pentas podium bagi kelas Wira Kejuaraan Cub Prix Malaysia bagi musim 2022 masih belum ‘tercalar’.
Tiga pelumbanya, Md Syamil Amsyar Md Iffende, Md Adam Haikal Jahar dan Md Danish Aiman Zamrul masing-masing saling bertukar tempat di pentas podium sejak Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Sepang (Utara).
Momentum penamat di pentas podium itu turut berjaya dikekalkan di Litar Permotoran Terengganu yang menjadi venue Pusingan 7 Cub Prix semalam, dengan Adam meraih kemenangan sulungnya bagi musim ini.
Syamil pula menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh manakala seorang lagi pelumba pasukan, Amirun Haziq Johan berjaya menemui garisan di tempat kelima di saat nasib tidak menyebelahi Danish di laman sendirinya kerana tidak menamatkan perlumbaan.
Sebelum ini, Adam hanya ‘berpuashati’ dengan penamat di tempat kedua iaitu di Pusingan 3 sehingga 6 dan berada di tempat ketiga pada pusingan pembukaan musim 2022, di Litar Antarabangsa Sepang.
“Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya kerana menyediakan jentera yang sangat bagus untuk saya. Sememangnya strategi kami adalah untuk meningkatkan jumlah mata keseluruhan pasukan namun begitu, pada akhirnya hanya saya berjaya di podium kali ini.”
“Saya sudah melakukan yang terbaik. Walaupun Danish melakukan kesilapan, saya tidak gopoh dan mengambil masa untuk ke tempat pertama. Akhirnya, saya berjaya,” kata Adam selepas perlumbaan.
Menjelang Pusingan 8 di Litar Tangkak, Johor dari 17 hingga 18 September ini, Syamil masih mendahului carta keseluruhan pelumba dengan 138 mata namun hanya dibezakan satu mata daripada rakan sepasukannya, Adam.
Turut mengekori rapat di tempat ketiga adalah Danish dengan 122 mata manakala pelumba Honda KC Racing, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas berada di kedudukan keempat, 79 mata. SUMBER: BERITA HARIAN