SERDANG | Perikatan Nasional (PN) perlu menyegerakan pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) supaya gerak kerja menghadapinya dapat dijalankan.
Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria, berkata pimpinan parti juga perlu memuktamadkan nama individu yang akan diketengahkan sebagai calon pada PRU-15, di samping memuktamadkan logo parti yang akan digunakan.
“Untuk mencapai kemenangan, kita perlu merancang. Kita akan menghadapi PRU-15 dan pembahagian kerusi mesti dibuat segera,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perwakilan pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Konvensyen sehari itu disertai parti gabungan PN iaitu BERSATU, PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Senada dengan Razman adalah Ahli Jawatankuasa PN Kedah, Afnan Taib, yang bukan sahaja mencadangkan pucuk pimpinan mengkaji logo parti, tetapi warna bendera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi pada setiap kali pilihan raya.
Ketika mengutarakan cadangan itu, Afnan berkata warna biru tua bendera ketika ini dengan tulisan Perikatan Nasional berwarna putih seakan-akan menyamai bendera Barisan Nasional (BN).
Tanpa menamakan warna Barisan Nasional (BN), beliau dalam nada kiasan berkata rakyat negeri Kedah akan berasa ‘gatal, gelisah dan panas’ jika menggunakan pakaian berwarna biru.
“Saya rasa Kelantan dan Terengganu pun sama. Orang tengok logo itu nampak semacam sahaja. Dia tak tahu warna apa, macam mana.
“Dia nak pangkah PN, akhirnya dia terpangkah BN. Jadi kita minta kaji semula logo ni,” ujarnya.
Menurutnya, sekiranya ia tidak boleh diubah, pihaknya mencadangkan agar rakan dalam gabungan PN di Kedah menggunakan logo Pas.
“Kalau pun tidak boleh diubah, Kedah cadang seperti Terengganu, rakan-rakan lain boleh bertanding di Kedah atas nama PN, guna logo bulan,” katanya.