BACHOK | Lembaga Tabung Haji membelanjakan sejumlah RM9 juta untuk menyediakan kemudahan pengangkutan kepada masjid-masjid seluruh negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebanyak 45 buah van serba guna disediakan.
Beliau berkata, usaha tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu pengurusan masjid untuk mengimarahkan lagi institusi terbabit.
“Tabung Haji mengagihkan sebanyak 45 buah van kesemuannya ke seluruh negara, salah satu di antaranya kepada Masjid Mukim Repek untuk hari ini.
“Ini bukan van jenazah sahaja, tetapi van mobiliti atau van dwi penggunaan dia boleh muat bukan sahaja orang sakit, orang sihat dan orang mati,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut dan penyampaian van serba guna kepada Masjid al Rahman Mukim Repek, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Taqwa, Dato’ Razali Shahabudin dan Pengarah Tabung Haji Kelantan, Ashrof Shamsuddin.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu menambah, kerajaan melalui Yayasan Taqwa turut memperuntukkan sebanyak RM20 juta, membantu rakyat berhadapan musibah.
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak RM6.6 juta sidah diagihkan kepada kediaman penduduk terlibat kejadian bencana alam di luar kawasan wilayah.
“Jadi ini merupakan sebahagian inisiatif kerajaan khususnya Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri untuk kita membantu rakyat di luar wilayah.
“Sebab itu kita menggunakan Yayasan Taqwa ini sebagaimana yang dilakukan Kerajaan Kelantan melalui Tabung Serambi Mekah untuk memberi bantuan,” katanya.