Semua dari kita merasa terkesima dengan keputusan mahkamah berkaitan kes DS Naib Razak. Kita merasa sugul dan pasti rasa kehilangan. Perbicaraan telah melalui beberapa fasa penting yang mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan dari kita semua.
Kekhuatiran saya ialah apabila dari kes tersebut ternampak UMNO semakin bercelaru. Serangan terbuka dan memalukan terhadap Perdana Menteri DS Ismail Sabri kononnya tidak membantu DS Najib dalam kes beliau mampu mengheret UMNO kedalam krisis atau pertembungan idea yang pasti besar dan boleh melemahkan kesatuan UMNO.
Kenapa PM harus dipersalahkan? Apa kuasa PM dalam prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif,legislatif dan judisiari. Kerosakan prinsip ini telah lama berlaku dan sudah sampai masanya kita melalui reform untuk pengasingan kuasa ini. Apakah kerosakan yang telah berlaku sebelum ini harus juga dilakukan dan diamalkan oleh Perdana Menteri sekarang?
Lebih parah apabila serangan dari dalam UMNO ini dihalakan terus kepada “Poster Boy” yang akan kita jadikan faktor kemenangan BN. Bukti penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin DS Ismail Sabri amat jelas.
Membawa negara pada kedudukan yang stabil dalam politiknya ,meletakkan ekonomi rakyat dan negara sebagai keutamaan dan memacu ekonomi negara pada tahap terbaik bukannya sesuatu yang mudah dan bukan semua pemimpin mampu membawa negara keluar dari masalah besar ini terutama selepas dunia melalui fasa kemerosotan dan kejatuhan disebabkan pandemik covid19.
Apakah kita sebagai pendokong UMNO sukar untuk kita sedikit bersyukur setelah Allah memberikan teguran apabila kalah dalam pru14 lepas? Dengan peluang kebangkitan UMNO sehingga Allah angkat darjat kita menjadi kerajaan kembali dalam masa yang singkat merupakan hadiah yang harus disyukuri dan bukan dikufuri.
Seharusnya dalam keadaan sebegini, kita harus melakukan perancangan dan mencipta strategi dengan baik untuk kemenangan dan bukannya bercakap dan menjadi tin kosong yang berbunyi kuat tetapi tiada isi di dalamnya. Seumpama menang sorak kampung tergadai.
Dari dulu orang kita sememangnya hebat mengkritik kepimpinan sendiri. Bertegang leher sesama ahli parti. Menegakkan benang yang basah demi menjadi juara dalam pasukan sendiri tetapi menikus dengan musuh yang nyata.Tidak tercalar walau sedikit musuh kita ketika berlawan dengan mereka tetapi apabila bergaduh sesama sendiri sehingga menggoyahkan tiang seri utama perpaduan dalaman parti.
Fokus kita ialah untuk memenangi PRU15 yang akhirnya akan menjadikan BN sebagai kerajaan yang kuat dan utuh. Dari kekuatan inilah kita mampu memperbaiki kerosakan yang pernah dilakukan oleh kerajaan PH. Segala kepincangan dalam aspek pentadbiran kerajaan akibat dari kegagalan kerajaan PH dahulu dapat kita betulkan dan menjadikan negara Malaysia yang stabil dan sejahtera demi rakyat dan dirgahayu jalur gemilang Malaysia.
Dari:
Zarina Abdol Majid
Exco Wanita UMNO Malaysia
Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Serai Perak : SUMBER: PORTAL Politik Malaysia