KUALA TERENGGANU | Tanda tanya mengenai kehilangan beberapa ternakan milik penduduk terjawab apabila seekor ular sawa seberat kira-kira 90 kilogram (kg) ditemukan berhampiran sebuah kandang lembu di Kampung Tapah di Kuala Berang, dekat sini.
Ketika dijumpai kira-kira jam 9.15 pagi tadi, ular sawa terbabit sukar bergerak disebabkan kekenyangan selepas menelan seekor anak lembu yang baru dilahirkan Jumaat lalu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Terengganu, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan ular sawa terbabit di kawasan berbukit berhampiran kandang lembu milik penduduk, sebelum pegawai dan anggota diarahkan ke lokasi untuk membantu.
“Ketika cuba menangkap ular terbabit, reptilia itu memuntahkan semula anak lembu yang ditelannya berikutan pergerakannya terbatas.
“Pihak kami menggunakan penjerut untuk menangkap bahagian kepala ular terbabit sebelum ia dibawa keluar daripada kawasan semak.
“Anak lembu yang dimuntahkan itu sudah mati, manakala ular sawa yang berjaya ditangkap dibawa ke pejabat APM daerah untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.
Mohd Zabri berkata, maklumat diterima mengatakan selain anak lembu terbabit, beberapa penduduk kampung turut kehilangan beberapa ternakan khususnya kambing yang dikurung dalam kandang di kawasan berkenaan dipercayai turut menjadi mangsa ular sawa terbabit. SUMBER: BERITA HARIAN