KUALA LUMPUR | Tiga pulau dalam negara ini dicadang dijadikan Pulau Tenaga Hijau menggunakan 100 peratus tenaga boleh baharu (TBB), kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, pulau berkenaan ialah Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu serta Pulau Tioman di Pahang.
Katanya, kertas cadangan mengenai inisiatif berkenaan sudah dibentang kepada Kabinet, Jumaat lalu.
“Kita bercadang mulakan di Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tadi umum satu lagi iaitu Pulau Tioman.
“Kerajaan memang serius dan kita berharap walaupun tidak seluruh negara, ada komponen seperti pulau ini yang menggunakan 100 peratus TBB,” katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 oleh perdana menteri, di sini, hari ini.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) kini sedang disediakan kerajaan dengan kerjasama Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
“Ini penting kerana ia akan memberi kita garis panduan bagaimana mencapai pelepasan karbon sifar bersih 2050,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata, ketetapan dasar dan inisiatif pembangunan tenaga lestari dijangka dapat mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sektor bekalan elektrik.
Beliau berkata, penetapan dasar dan inisiatif itu juga akan menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan pelaburan sehingga RM33 bilion dan mewujudkan 47,000 peluang pekerjaan langsung.
“Komitmen ini memerlukan gandingan usaha semua pemegang taruh dalam bidang tenaga lestari,” katanya. – SUMBER: BERNAMA