KOTA KINABALU | Golongan mahasiswa hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan selain di bilik darjah bagi menghadapi cabaran zaman yang semakin kompleks.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, dengan kekuatan itu mereka mampu menjadi generasi yang berperanan dalam arus pembangunan negara.
Katanya, keringat mahasiswa sangat diperlukan bagi membantu membantu kerajaan membangunkan negara.
“Mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu sehingga mampu berdikari selepas menamatkan pengajian di kampus.
“Seperti kata pepatah ‘dicampak di laut menjadi pulau, dicampakkan di darat akan jadi bukit’,” katanya pada konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin.
Konvensyen itu dirasmikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Dato’ Mohd Ariffin Mohd Arif. Hadir sama Adun dilantik Dr Aliakbar Gulasan.
Program tersebut dianjurkan Persatuan Pengkaji Budaya Intelek Sabah (IKSAS) dengan kerjasama Institut kerjasama Kerajaan & Rakyat (IKRAR), Gabungan Mahasiswa Islam Sabah (GAMIS), Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS), Sinergi Siswa Pendidik Islam (SSPI), Persatuan Siswazah Sabah (PSS), Sabah Relief, Pertubuhan Kebajikan Prihatin Kanak-kanak Sepanggar (PERKEPS) dan Yayasan Permata Ummah.
Idris juga berkata, dengan pengetahuan yang dimiliki mahasiswa menjadi nadi bagi membangunkan negara pada masa akan datang.
Sementara itu, Mohd Ariffin berkata, arus kemajuan sesebuah negara menjadi lebih cepat apabila rakyat mempunyai ilmu pengetahuan, pendidikan dan dilengkapi tarbiah yang mantap.
Bagaimanapun katanya usaha itu perlu dibantu kerajaan bagi memberi peluang mahasiswa menuntut ilmu sehingga mampu menggenggam diploma dan ijazah.
“Apabila mahasiswa dilengkapi segala cabang ilmu mereka mampu melangkah ke depan tanpa rasa takut bagi membantu membangunkan negara.
“Sumbangan boleh dilakukan melalui pelbagai medium termasuk aplikasi TikTok dan Instagram,” ujarnya. – SUMBER: HARAKAHDAILY