KUALA LUMPUR | Peranan semua pihak termasuk persatuan pengguna, pemain industri dan peniaga serta Keluarga Malaysia amat penting dalam usaha untuk memerangi inflasi, selain langkah dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membendung inflasi dan membantu rakyat mendepani isu kos sara hidup.
“Inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berikutan langkah kerajaan terus menyediakan peruntukan subsidi yang lebih besar iaitu sebanyak RM77.7 bilion pada 2022 berbanding bajet asal sebanyak RM31 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapa berkata, kerajaan akan menanggung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion untuk mengekalkan tarif elektrik kepada semua pengguna untuk separuh kedua 2022. “Kerajaan juga melaksanakan harga kawalan melalui Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia dan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan seperti gula, tepung gandum kegunaan am, minyak masak paket satu kilogram, ayam dan telur serta RON95 dan diesel,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga sudah memperluas Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) membabitkan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.
“Program JMKM dilaksanakan mulai Ogos sehingga Disember 2022 untuk menawarkan pengurangan harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa setempat,” katanya sambil memaklumkan sebanyak RM80 juta diperuntukkan bagi menjayakan program tersebut.
Mustapa berkata, usaha turut diambil untuk memantapkan penguatkuasaan di sempadan bagi mengawal penyeludupan barangan bersubsidi dengan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara harian terhadap 480 item di 1,500 premis di seluruh negara.
“Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2018 serta Akta Persaingan 2010 turut diperkukuh,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
DOSM berkata, inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, trend kadar inflasi yang tinggi adalah fenomena global yang turut dialami oleh banyak negara di dunia berikutan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.
Bagaimanapun, katanya, kadar inflasi di Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia.
“Kadar pada Julai 2022 adalah lebih rendah berbanding United Kingdom (10.1 peratus), Zon Euro (8.9 peratus), Amerika Syarikat (8.5 peratus), Thailand (7.6 peratus), Singapura (7.0 peratus), Filipina (6.4 peratus), Korea (6.3 peratus) dan Indonesia (4.9 peratus),” katanya. – sumber: BERNAMA