PEKAN | Tiga lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 14 tahun, dua minggu lalu.
Tertuduh Rosli Bakar, 29, Helmat, 22, Murad Ahmad, 26, mengangguk faham ketika pertuduhan membunuh dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga buruh kampung itu didakwa bersama-sama dengan niat membunuh remaja berkenaan di hutan berhampiran simpang kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin antara jam 11.15 malam 20 Ogos hingga 7 pagi, 21 Ogos.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa, Raya Luqman Hakim Mohamad Usari manakala semua tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.
Mahkamah menetapkan 3 November untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan, mayat remaja wanita yang tidak bersekolah ditemukan oleh sepupunya di lereng bukit berhampiran rumahnya pada 21 Ogos dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala.
– SUMBER: BERNAMA