KUALA LUMPUR | Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli diminta tidak memutarbelitkan fakta dengan menjadikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai sasaran serangannya semata-mata untuk menjadi popular.
Exco Armada BERSATU, Harris Idaham Rashid berkata Rafizi perlu memandang ke depan dan tidak membangkitkan peristiwa lampau memandangkan Presidennya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalinkan kerjasama rahsia secara senyap-senyap semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri.
“Nasihatkan Presiden kamu sendiri supaya berhenti membuat perjanjian sulit untuk mendapat sokongan.
“Seluruh negara sudah mendengar panggilan tular Anwar dengan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk mendapatkan sokongan Kluster Mahkamah. Kenapa kamu berdiam diri dalam isu tersebut?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, satu rakaman audio perbualan antara Anwar dengan Zahid tular dalam merancang strategi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Susulan itu, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh dan Anwar yang pada mula mendakwa memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri sebaliknya masih gagal mendapat sokongan khususnya daripada anak muridnya dan Ahli Parlimen UMNO.
Selain itu, terdapat juga tular surat sokongan kepada Anwar yang dihantar Zahid dan Datuk Seri Najib Razak ke Istana Negara. Anwar bagaimanapun tidak pernah menafikan berhubung surat sokongan tersebut.
Berhubung kecamannya dalam Langkah Sheraton, Harris berkata sikap tergesa-gesa Anwar yang mahu menggantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah punca kepada krisis politik berlaku ketika itu.
“Rafizi perlu mengakui Anwar Ibrahim, presidennya sendiri, yang mendesak dan memberi tekanan kepada Dr Mahathir kerana gila mahu menjadi Perdana Menteri yang akhirnya menyebabkan berlaku Langkah Sheraton sebelum ini,” katanya lagi.