KOTA BHARU | Pemuda Perikatan Nasional (PN) Kelantan bimbang kes kebocoran maklumat dan dokumen sulit kerajaan di media sosial sejak kebelakangan ini.
Ketuanya Mohamad Kamal Mohamed berkata, banyak kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin negara bocor sama ada diedit hasil tangan-tangan berniat jahat atau melibatkan salah guna kuasa pegawai yang bertanggungjawab.
“Pemuda Perikatan Nasional Kelantan memohon kerajaan terutama pegawai-pegawai awam yang menandatangani Akujanji Kerahsiaan agar mengambil berat berkait kebocoran maklumat,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini dilaporan berlaku kebocoran dokumen penghakiman keputusan kes rasuah membabitkan isteri bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ekoran itu polis merekodkan keterangan beberapa individu berhubung kebocoran dokumen terbabit.
Mohamad Kamal juga berkata, budaya membocorkan maklumat adalah barah yang merebak dan membunuh jika tidak dirawat.
“Saya menyeru semua pihak tidak terikut rentak ‘share’ apa sahaja di media sosial sekali pun berkait dokumen sulit yang dikelaskan terikat akta dan Akujanji.
“Mohon semua pihak, pemain politik, penjawat awam atau netizen supaya kekal berintegriti,” ujarnya. – SUMBER: HARAKAHDAILY