Melaka | Pasukan bola sepak wanita Melaka United (MU) mengesahkan tempat ke saingan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022 selepas muncul naib johan Liga Bolasepak Wanita Nasional (LWN) bagi Zon Selatan di di Pasir Gudang, Johor Bahru, baru-baru ini.
Kejayaan muncul naib juara daripada tujuh pasukan itu membolehkan laluan skuad itu yang berhasrat mempertahankan PTSR yang dimenangi sebelum ini, bakal menjadi kenyataan.
Pengurus pasukan MU, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, PTSR dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 11 September depan di Shah Alam membabitkan lapan pasukan. Menurutnya, saingan kali ini bakal berlangsung sengit menerusi cabaran beberapa pasukan termasuk Sabah dan Sekolah Sukan Pahang yang memiliki pemain berpengalaman dan barisan muda berbakat.
“Malah skuad lain dilihat memiliki pemain terbaik untuk berusaha merampas kejuaraan dimiliki pasukan Melaka pada kejohanan kali ini.
“Apapun dibarisi ramai pemain kebangsaan dan persefahaman yang dibentuk diyakini mampu meletakkan Melaka untuk memastikan kejuaraan bakal kekal milik kami.
“Apa yang penting komitmen dan semangat juang tinggi menjadi asas kami, selain sokongan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Datuk Nor Azmi Ahmad dan semua pihak menjadi pembakar semangat untuk Melaka cemerlang kali ini,”katanya. SUMBER: HARIAN METRO.