PUTRAJAYA | Mahkamah Rayuan menetapkan 5 September ini bagi pengurusan kes rayuan pendakwaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Samirah Muzaffar bersama dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Seorang daripada peguam yang mewakili Samirah, Rahmat Mohamed Hazlan ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pengurusan kes itu pada hari berkenaan akan dijalankan melalui aplikasi Zoom di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.
Pada 21 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman, menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47, yang juga balu Allahyarham Nazrin dan kedua-dua remaja berusia 16 serta 19 tahun terbabit.
Dua hari selepas itu, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan untuk membatalkan keputusan berkenaan.
Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga jam 4 pagi 14 Jun 2018. – SUMBER: BERNAMA