KUALA LUMPUR | Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hadir ke Bukit Aman, semalam, untuk memberi keterangan.
Ia berhubung kenyataannya yang dilaporkan mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera paling ramai terbabit rasuah.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata Ahli Parlimen Marang itu hadir bersama peguamnya.
“Beliau telah memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung. “Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, semalam, tanpa memberikan butiran lanjut.
Kelmarin, Bernama melaporkan PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Abdul Hadi susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.
Skandaguru sebelum ini dilaporkan berkata, polis menerima 28 laporan berhubung kenyataan Abdul Hadi itu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – SUMBER: BERNAMA