PASIR PUTEH | Sebuah bot nelayan asing yang sedang menangguk gamat di perairan Kelantan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan kelmarin.
Bot berkenaan ditahan menerusi Op Khas Naga Barat dan Op Damai pada jam 6.45 petang pada jarak lebih kurang 40 batu nautika dari Muara Tok Bali dan 11.6 batu nautika dari sempadan Thailand.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, gamat lebih kurang 200 kilogram (kg), bahan bakar diesel lebih kurang 2,000 liter dan peralatan menangguk gamat dianggarkan berjumlah RM429,000.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan berwarna kelabu dan hijau pada jam 6 petang dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, menyedari diekori bot ronda Maritim Malaysia, bot tersebut cuba melarikan diri dan selepas hampir 45 minit mengejar, bot suspek akhirnya berhenti dan pasukan geledah menaiki dan menahan bot itu.
“Pemeriksaan mendapati, bot nelayan asing Vietnam dengan lima kru termasuk tekong adalah warga Vietnam yang berusia antara 34 hingga 61 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan turut mendapati lebih kurang 200 kg gamat berada di atas bot yang dipercayai ditangkap di perairan Malaysia.
“Tekong juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti
perikanan di perairan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, bot dan kesemua mereka ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
Selain itu, kes akan disiasat mengikut Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru.
“Bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika
sabit kesalahan.
“Kesemua kru akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.