ALOR SETAR | Tiga pemilik syarikat didenda masing-masing RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk mendapatkan tender pembersihan awam.
Hukuman diputuskan Hakim Harmi Thamri Mohamad terhadap Mohamad Asri Sapar, 48, Roslan Jaafar, 52 dan Mohamad Shamsul Aizat Mohd Salleh, 31, dengan mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Harmi berkata, hukuman diputuskan dengan mengambil kira kepentingan awam bagi memberi pengajaran dan teladan kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan sama.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Asri dan Roslan dituduh menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun bank syarikat bagi Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara. Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Idaman Sdn Bhd di sini masing-masing pada 14 Januari 2019 dan antara 11 Februari hingga 5 Mac 2019.
Mohamad Shamsul Aizat pula didakwa melakukan perbuatan sama bagi tujuan mendapatkan tender Projek Pengumpulan Sisa Pepejal Bersepadu, Pengurusan Pembersihan Awam dan Operasi dan Penyelenggaraan Pusat Komuniti Lestari (PKL) di bawah Program Keusahawanan Belia di Kulim Hi-Tech Park, pada 17 Januari 2019 di tempat sama.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Di mahkamah sama, seorang lagi pemilik syarikat, Zamri Mohamad, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dengan Mohamad Asri dan Roslan.
Mahkamah membenarkan Zamri diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi dan menetapkan 29 Sept untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala Mohamad Asri, Roslan dan Mohamad Shamsul Aizat tidak diwakili peguam. Zamri pula diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.
Semua tertuduh masing-masing membayar denda dan wang jaminan itu. – SUMBER: BERNAMA