ALOR SETAR | Lebih 20,000 membanjiri Dataran Medan untuk menyaksikan majlis Istiadat Pembarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 peringkat negeri hari ini.
Manakala 115 kontigen melibatkan 6,000 peserta mengambil bahagian dalam perarakan mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan berunifom dari beberapa sekolah di sekitar Alor Setar.
Perarakan bermula sebaik sahaja Tuanku Sultan Kedah berangkat menyempurnakan pemeriksaan barisan Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Turut berangkat Tuanku Sultanah Kedah, Tuanku Raja Muda, Raja Puan Muda, Tuanku Mahkota Kedah, Tuanku Bendahara Kedah, Toh Puan Bendahara Kedah dan Tuanku Temenggong Kedah.
Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, isterinya Tok Puan Jusmalailani Jusoh, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan.
Perarakan kontigen turut melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam (Apam), Bomba, Rela dan pelbagai lagi.
Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri serta Adun-Adun kerajaan dan pembangkang turut berpadu tenaga bersama dalam satu kontigen. Perbarisan tersebut diiringi pasukan pancaragam PDRM dan beberapa sekolah.