Keterujaan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum menyaksikan kontinjen barisan hadapan COVID-19 ketika melakukan lintas hormat di hadapan pentas orang kenamaan di Dataran Merdeka terserlah apabila memberi sorakan gemuruh kepada kontinjen itu.
Kontinjen terdiri 84 anggota Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ketuanya, Khairil Hilmi Mokhtar, berkata kontinjen diterajui Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu menghimpunkan petugas daripada pelbagai agensi yang bertanggungjawab menangani krisis COVID-19 sejak dua tahun lalu.
“Walaupun kontinjen kecil sahaja, ia mewakili kelompok besar yang berjasa kepada negara. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana ini kali pertama dalam sejarah 65 tahun ini, kami ada satu kontinjen gabungan menggambarkan Keluarga Malaysia,” katanya.
Menurutnya, peluang yang diberikan untuk menyertai perarakan pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini adalah petanda jelas keprihatinan dan penghargaan kerajaan dan rakyat kepada peranan serta pengorbanan barisan hadapan mendepani pandemik COVID-19. “Kami berterima kasih sebab sepanjang perjalanan tadi, orang ramai, pengunjung bersorak, tepuk tangan. Kami dapat rasa bahawa kerajaan, Keluarga Malaysia menghargai, rakyat pun menghargai. Perasaan itu orang kata, tiada tolok bandingnya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa teruja kerana sambutan Hari Kebangsaan ini diraikan dalam suasana seperti sebelum penularan COVID-19 susulan negara berada dalam fasa pemulihan pandemik.
“Mungkin (penyertaan kami) dalam perbarisan kali ini, sekali sahaja. Mungkin tahun depan tiada lagi. Perbarisan ini menggambarkan seluruh jentera kerajaan, sebab itu ia istimewa,” kata Khairil. – SUMBER: BERNAMA