RANAU | Seramai 22 peserta, termasuk enam pendaki orang kurang upaya (OKU) bagi Ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022 berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, awal pagi ini, sempena Hari Kebangsaan 2022.
Peserta ekspedisi anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu tiba di puncak gunung setinggi 4,095 meter itu antara jam 5.45 pagi hingga 6.30 pagi secara bergilir dan mengakhiri pendakian mereka di Timpohon Gate, antara jam 4.30 petang hingga 7 malam ini.
Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM, Prof Madya Dr Zulkifli Hasan, yang mengetuai ekspedisi itu, berkata pendakian Gunung Kinabalu bermula pagi semalam itu amat mencabar bagi orang biasa.
Justeru, katanya, keupayaan enam pendaki OKU menyempurnakan pendakian adalah sesuatu yang amat luar biasa.
“Malah, ada peserta terjatuh dan mengalami luka-luka kecil tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan pendakian dan mencapai misi sampai ke puncak,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.
Gunung Kinabalu terletak di Banjaran Crocker, kira-kira 86 kilometer (km) dari Kota Kinabalu dan pendakian ke puncak gunung itu adalah sejauh 8.7km.
Sementara itu, pendaki OKU penglihatan, Ahmad Danial Mohd Sani, berkata peluang untuk menawan puncak Gunung Kinabalu adalah nikmat yang diberikan Allah.
“Sebenarnya nikmat ini tidak pernah saya idamkan selama ini, pertama kali sampai menikmati keagungan ciptaan-Mu,” kata pelajar Sarjana Muda Imu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Quran dan Sunnah) UIAM.
Beliau dalam nada sebak mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan ekspedisi yang membantunya menjayakan misi pendakian itu.– SUMBER: BERNAMA