WASHINGTON | Seorang pemuda di Ohio, Amerika Syarikat (AS), kini bergantung pada mesin sokongan hayat selepas diserang puluhan ribu sengatan lebah, menurut keluarga mangsa dan laporan media tempatan.
Media melaporkan Austin Bellamy, 20, berada dalam keadaan koma atas rawatan perubatan, malam Selasa lalu, setelah beliau secara tidak sengaja memotong sarang lebah ketika membantu melakukan kerja berkait pokok untuk rakannya dikenali sebagai Fox, 19.
“Austin terpaksa dipasangkan alat bantuan pernafasan di hospital,” kata ibu mangsa, Shawna Carter melalui laman kutipan derma secara dalam talian yang dilancarkannya untuk membiayai kos perubatan mangsa.
Jumaat minggu lalu, Bellamy sedang memangkas dahan pokok lemon sebelum beliau tanpa sengaja memotong serang ‘lebah pembunuh’ Afrika dan mengalami lebih 20,000 sengatan, menurut kenyataan kutipan dana oleh Carter itu.
Ketika kejadian, keluarganya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap di atas pokok, kerana mereka turut diserang lebah berkenaan.
Carter yang tiada di lokasi ketika kejadian, pengsan sebaik saja diberitahu mengenai insiden itu melalui panggilan telefon.
Malah, beliau berkata, mangsa turut tertelan kira-kira 30 lebah yang menyaksikan doktor mengambil masa lebih daripada sehari untuk menyedutnya keluar.
Bagaimanapun, Carter berkata, doktor menjangkakan mangsa akan kembali pulih sepenuhnya. – SUMBER: AFP