NEW YORK | Harga minyak mentah terus tertekan susulan kebimbangan bahawa kelembapan ekonomi yang disebabkan oleh inflasi akan menjejaskan permintaan terhadap bahan api.
Harga minyak pada Rabu jatuh walaupun terdapat penurunan dalam simpanan minyak mentah di Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.
West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Oktober turun AS$2.09, atau 2.3 peratus, untuk ditutup pada AS$89.55 setong di New York Mercantile Exchange.
Minyak mentah Brent untuk penghantaran Oktober susut AS$2.82, atau 2.8 peratus, untuk ditutup pada AS$96.49 setong di Bursa Hadapan ICE London. Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS hari ini melaporkan bahawa inventori minyak mentah negara itu berkurangan sebanyak 3.3 juta tong pada minggu berakhir 26 Ogos.
Berdasarkan tinjauan analisis oleh S&P Global Commodity Insights, ia menjangkakan kejatuhan sebanyak 1.9 juta tong dalam bekalan minyak mentah AS.
Menurut EIA, jumlah inventori petrol motor menurun sebanyak 1.2 juta tong minggu lalu, manakala inventori bahan api disuling meningkat sebanyak 0.1 juta tong.
Semalam, kedua-dua harga minyak mentah AS dan Brent susut lebih daripada lima peratus, berikutan kebimbangan terhadap permintaan.- BERNAMA