Kajian mengenai kos sebenar rantaian pengeluaran seekor ayam yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan siap sepenuhnya Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata menerusi kajian itu, kerajaan akan memperoleh panduan lebih tepat mengenai kos sebenar pengeluaran ayam membabitkan kesemua pihak berkaitan daripada peringkat penternak, pemborong sehingga kepada peruncit.
“Oleh kerana harga ayam adalah perkara penting untuk rakyat Malaysia, DOSM sudah pun mulakan kajian (mengenai kos pengeluaran) dan ia dilihat dari segi keseluruhan rantaian. Kajian ini akan siap pertengahan Oktober dan ia penting untuk kita tahu berapa sebenarnya kos, daripada makanan, buruh dan tenaga.
“Angka ini memang dah ada, tetapi ia perlu dikemas kini kerana ia sudah (lama) satu ke dua tahun, sebulan setengah lagi ia dijangka siap,” katanya pada sidang media Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang bermesyuarat hari ini.
Hadir sama, Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa.
Mustapa yang juga ahli Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, pada mesyuarat berkenaan, jawatankuasa itu turut membincangkan tiga perkara yang menyumbang kepada 70 peratus wajaran inflasi semasa dengan peratus tertinggi membabitkan makanan dan minuman iaitu 29.5 peratus.
“Selain itu, kedua tertinggi adalah perumahan, air dan caj elektrik serta gas, iaitu 23.8 peratus, ketiga, 14.6 peratus bagi pengangkutan. Campur tiga perkara ini, menyumbang kepada 70 peratus corak belanja isi rumah,” katanya.
Beliau berkata, bagi tujuan pemantauan, DOSM mengutip 552 harga barangan di seluruh negara dengan pemerhatian lebih teliti dibuat membabitkan harga barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran yang diselia dua kali sebulan.
“Pada mesyuarat tadi, jawatankuasa membuat keputusan perlu memperhalusi daripada 70 peratus tadi, ada 15 wajaran tertinggi, yang tertinggi adalah kos sewa rumah. Jadi, jawatankuasa meneliti perkara ini dan urus setia akan lihat bagaimana untuk mengawal inflasi melihat kepada hakikat, 70 peratus ini berada dalam tiga kategori dan 15 item yang berada dalam wajaran tertinggi,” katanya.