PUTRAJAYA | Kementerian Luar (KLN) akan menyusun semula keberadaan pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara, termasuk meneruskan operasi sedia ada, menutup atau membuka yang baharu.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata rasioanalisai itu adalah antara lima tumpuan kementerian itu sepanjang tahun depan.
Beliau berkata, kementerian itu juga berkemungkinan melantik duta litar (roving ambassador) serta lebih ramai konsul kehormat selain menyusun semula kekuatan pejabat perwakilan Malaysia, termasuk membabitkan gred Ketua Perwakilan, jumlah pegawai dan kelengkapan aset.
Katanya, usaha itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan kementerian berkaitan.
“Selaras dengan cabaran besar semasa dan dengan pendekatan futurist (menjangkakan masa depan) seperti menganalisis ekonomi pesat membangun (emerging economies), serta dengan fokus baharu negara seperti mewujudkan jawatan Atase Bahasa dan Kebudayaan daripada kementerian berkaitan.
“Rasionalisasi ini kalau kementerian, kami sudah bersedia untuk melaksanakannya, tetapi tentulah bukan kami yang menyelaraskan.
“Penyelarasan itu daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kemudian timbullah soal duit. Cuma dalam permohonan kami dalam Bajet 2023 itu kami dah ambil kira rasionalisasi,” katanya pada sidang media Kad Laporan Setahun KLN, di Wisma Putra, di sini, hari ini.