KUALA LUMPUR | Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan dalam kes rasuah berhubung projek solar sekolah luar bandar Sarawak yang dihadapinya.
Mohamed Zaini memutuskan untuk mendengar permohonan itu pagi ini juga selepas menolak permohonan peguam utama Rosmah, Datuk Jagjit Singh yang meminta ia didengar pada tarikh lain.
Tegas hakim itu, peguam bela mesti bersedia dengan hujahannya kerana pembelaan memfailkan permohonan notis usul berserta perakuan supaya ia didengar segera Selasa lalu dan mengikut amalan mahkamah di negara ini, mesti didengar pada hari sama atau sehari selepas difailkan.
“Saya bersedia untuk mendengar permohonan ini,” katanya.
Mohamed Zaini juga menyoal peguam mengenai idea siapa di sebalik permohonan terbabit, yang dijawab Jagjit mereka bertindak atas arahan.
Hakim bagaimanapun membenarkan prosiding ditangguh setengah jam bagi membolehkan peguam menyediakan hujah balas terhadap afidavit pihak pendakwaan.
Permohonan Jagjit itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang menegaskan bahawa pendakwaan bersedia untuk mengemukakan hujahannya pagi ini juga.
Menurut Sri Ram, permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini itu dibuat dengan jahat kerana ia tidak disokong dengan alasan kukuh.
Malah katanya dakwaan Rosmah selaku permohonan mengenai keputusan penghakiman yang bocor itu hanya berdasarkan dengar cakap.
“Ia bukan penghakiman bertulis, hanya hasil penyelidikan dan pendapat… permohonan notis usul ini tiada bukti kukuh dan hanya bersifat spekulasi.
“Ia dibuat dengan niat jahat semata-mata untuk menghalang hakim daripada memutuskan kes ini,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN