MANILA | Seorang pakar psikiatri Kemboja yang merawat mangsa Khmer Rouge serta seorang aktivis alam sekitar Perancis yang membersihkan sungai di Indonesia adalah antara pemenang Anugerah Ramon Magsaysay 2022.
Digelar sebagai Hadiah Nobel Asia, anugerah tahunan yang diwujudkan pada 1957 itu dinamakan sempena nama presiden Filipina yang meninggal dunia dalam nahas kapal terbang, Ramon Magsaysay.
Ia bertujuan memberi penghormatan kepada mereka yang melakukan ‘khidmat tanpa mementingkan diri kepada rakyat Asia’.
Yayasan yang menganjurkan anugerah itu membuat pengumuman secara dalam talian bahawa terdapat empat pemenang pada tahun ini.
Antaranya ialah Sotheara Chhim, 54, pakar psikiatri yang terselamat dari kekejaman rejim Khmer Rouge, yang membunuh hampir 25 peratus penduduk Kemboja melalui kebuluran, buruh paksa dan hukuman mati secara besar-besaran pada 1970-an.
Beliau terkenal kerana mengabdikan hidupnya membantu orang yang menderita di bawah Khmer Rouge, dengan memberi tumpuan untuk merawat ‘baksbat’ iaitu hilang semangat atau keberanian.
Sindrom yang banyak dialami dalam kalangan penduduk Kemboja itu boleh dikatakan sama seperti kecelaruan tekanan selepas trauma (PTSD).
Penganjur Anugerah Magsaysay memuji ‘keberaniannya yang tenang dalam mengatasi trauma mendalam untuk menjadi penyembuh rakyatnya’.
Sotheara Chhim turut memberi keterangan sebagai saksi pakar di hadapan tribunal yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membicarakan pemimpin kanan Khmer Rouge atas tuduhan jenayah perang.
“Saya… trauma sebagai mangsa di bawah Khmer Rouge, tetapi bekerja untuk membantu mangsa Khmer Rouge yang terselamat turut membantu saya menyembuhkan diri saya juga,” katanya dalam temu bual pada 2017.
Aktivis alam sekitar dan pembuat filem Perancis, Gary Bencheghib, 27, pula menerima Anugerah Magsaysay bagi usahanya membersihkan sungai Indonesia yang tercemar.
Bencheghib dan abangnya membina kayak yang diperbuat daripada botol plastik dan buluh untuk mengutip sampah di sungai Citarum, salah satu sungai paling tercemar di dunia.
Doktor Filipina, Bernadette Madrid, 64, pula mendapat anugerah itu kerana menubuhkan pusat perlindungan kanak-kanak di seluruh Filipina bagi membantu mangsa penderaan domestik.
Pakar mata Jepun, Tadashi Hattori, 58, pula diberi penghormatan sama kerana menyediakan pembedahan mata percuma di Vietnam, di mana pakar dan kemudahan sedemikian adalah terhad.
Kata Yayasan Anugerah Magsaysay, kemurahan hati beliau adalah ‘penjelmaan tanggungjawab sosial individu’
Majlis penyerahan anugerah secara bersemuka kepada pemenang akan diadakan di Manila pada November ini. – SUMBER: AFP