PAS yakin mampu mengambil alih pentadbiran Kerajaan Pusat berdasarkan pencapaian dan keupayaan semasa berada serta peranan dijayakan di kementerian-kementerian diamanahkan.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia termasuk perkara sama ditunjukkan dalam pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang diterajui PAS.
Semua itu pujinya, adalah hasil dukungan ahli-ahli serta tenaga pakar sedia ada di dalam PAS dalam pelbagai bidang termasuk kalangan Pemuda yang disebut 30 peratus mereka itu akan mewakili PAS.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.
Katanya, gagasan PAS dalam memperkenalkan peranan pentadbiran kerajaan dan kementerian menjadi satu kekuatan kepada PAS sendiri di mana Pemudalah perlu bersiap sedia menampilkan kepimpinan masa depan.
“Saya melihat keperluan besar sebagaimana yang menjadi keutamaan bagi parti untuk mengangkat martabat Pemuda bagi segera mengambil alih kepimpinan parti dan persiapan pilihan raya.
“Sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pemuda yang akan mewakili parti dalam Pilihan Raya Ke-15 nanti insyaAllah. Pemuda mesti bersiap sedia dalam semua ruang-ruang supaya kita menampilkan barisan kepimpinan yang diperlukan bukan sahaja oleh anak muda, bahkan negara kita,” serunya.
Beliau melihat pencapaian yang ada pada Dewan Pemuda setakat ini sangat membanggakan parti, namun perlu ditingkatkan segera, kerana menyedari pengalaman berdepan pelbagai keadaan dan situasi khususnya dalam mencari rakan-rakan muafakat politik.
Tegasnya, PAS tidak pernah undur ke belakang, sebaliknya mempertahankan prinsip dan dasar-dasar yang dibawa kerana yakin dasar yang diturun oleh Allah Taala mengambil kira masyarakat majmuk dan masyarakat berbilang agama.
“Mengambil kira masyarakat yang berbilang kaum, berbilang budaya, mengambil kira keperluan golongan miskin dan golongan yang berada, mengambil kira golongan wanita dan laki-laki dan jantina semua.
“Kita penuh yakin dan percaya kalau setengah negara bangga hanya menggunakan akal fikiran, menggunakan pengalaman-pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, Allah Taala menurunkan kepada kita dasar, panduan yang menjadi ikutan kita semua.
“Kita perlu rasa bangga dengan wahyu Allah S.W.T dan hadis Nabawiyah, memandu kita dalam pentadbiran. Dua panduan ini menjadi panduan bagi kita, bukan hanya ilmu, akal fikiran, bukan hanya iradah dan tenaga yang ada pada kita.
“Kita memimpin berdasarkan panduan daripada Allah S.W.T. Jalan itulah yang kita ikut, jalan itulah menjadi panduan kita dalam mengurus parti, dalam mengurus keluarga, bahkan dalam mengurus negara insyaAllah,” ujarnya. – SUMBER: HARAKAHDAILY