JAKARTA | Sekurang-kurangnya sepuluh orang termasuk empat kanak-kanak terbunuh manakala lebih 20 lagi cedera apabila sebuah lori merempuh perhentian bas di luar sebuah sekolah berhampiran ibu negara Indonesia, hari ini.
Lori yang sedang mengangkut batang besi di Bekasi, Jawa Barat hilang kawalan lalu merempuh sebuah pondok bas tempat sekumpulan pelajar sedang berkumpul, kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan.
Lori berkenaan turut melanggar sebuah menara telekomunikasi, yang tumbang dan menghempap beberapa motosikal serta sebuah trak pikap menggunakan laluan itu, menyebabkan pemandunya terbunuh.
Ketua Unit Trafik Polis Jakarta, Latif Usman, mengesahkan kepada AFP bahawa 10 orang maut dalam kemalangan itu termasuk empat kanak-kanak dan enam lagi dewasa.
“Setakat ini kami tidak melihat sebarang tanda kerosakan brek tetapi kami masih menyiasat kemalangan itu dan pemandu lori terbabit juga sudah ditahan tetapi tidak lagi disoal siasat kerana dia ‘masih terkejut’,” katanya.
Tambah beliau, sekurang-kurangnya 23 yang lain, termasuk 14 pelajar sekolah rendah cedera dan dibawa ke dua hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Gambar dari tempat kejadian menunjukkan logam berpintal dan serpihan ditemui ketika penyelamat membantu mangsa.
Polis berkata mereka masih menyiasat punca nahas.
Kemalangan jalan raya maut adalah perkara biasa di negara Asia Tenggara yang mempunyai 270 juta penduduk itu, ekoran peraturan jalan raya selalu diabaikan dan kenderaan tidak diselenggara dengan baik.
Pada April lalu, 16 orang termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dan puluhan lagi cedera apabila sebuah lori yang menuruni gunung terpencil di Papua Barat, Indonesia terbabas dan jatuh terhempas ke dalam gaung. – SUMBER: AFP