BEIJING | Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA) memaklumkan kru angkasawan Shenzhou-14, Chen Dong, Liu Yang dan Cai Xuzhe berjaya menamatkan misi aktiviti luar kenderaan (EVA) selama enam jam tepat jam 12.33 pagi ini.
Ketiga-tiga angkasawan itu selamat kembali ke kabin eksperimen Wentian, sekali gus menandakan kejayaan EVA kali ini.
Untuk rekod, ini ialah kali pertama angkasawan menjalankan aktiviti di luar kabin eksperimen Wentian, dengan bantuan lengan mekanikal kecil.
Dalam tempoh itu ketiga-tiga angkasawan bekerjasama untuk menyelesaikan misi seperti mengangkut kamera panoramik di kabin Wentian, pengesahan pemulangan kecemasan autonomi di luar kabin dan lain-lain.
Keseluruhan proses itu membabitkan proses menguji keupayaan angkasawan untuk bekerjasama dengan lengan mekanikal kecil serta mengesahkan fungsi peralatan yang berkaitan berjalan lancar.- BERNAMA