NEW YORK | Penguatkuasa undang-undang Amerika Syarikat (AS) semalam menyerbu dua hartanah New York milik jutawan Russia, Viktor Vekselberg, sekutu rapat Presiden Vladimir Putin dan sasaran sekatan, lapor NBC News.
Ejen persekutuan dan pegawai polis tempatan dikesan membawa kotak selepas mereka meninggalkan sebuah apartmen di Park Avenue yang mewah di Manhattan dan sebuah rumah di Hamptons, destinasi percutian mewah berhampiran New York City, menurut laporan itu.
Kedua-dua hartanah itu dikaitkan dengan Vekselberg, kata NBC, memetik dokumen Perbendaharaan AS.
Pihak berkuasa juga sedang menggeledah sebuah hartanah di Pulau Fisher di Miami yang dipercayai ada kaitan dengan Vekselberg, lapor NBC.
Vekselberg ialah ketua Kumpulan Renova, sebuah konglomerat yang berpangkalan di Moscow, dan salah seorang daripada beberapa orang kaya Russia yang menjadi sasaran sekatan berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Sekatan itu telah membekukan aset AS milik Vekselberg dan melarang syarikat Amerika daripada menjalankan perniagaan dengannya dan syarikatnya.
Beliau juga sedang disiasat oleh Jabatan Kehakiman AS kerana melakukan penipuan bank, tetapi tiada pertuduhan telah difailkan, lapor NBC.
Pada April, kapal layar besar Vekselberg bernilai 90 juta euro (RM443.92 juta) telah dirampas oleh pihak berkuasa Sepanyol atas permintaan kerajaan AS.
Kapal layar sepanjang 78 meter bernama Tango telah disita di pelabuhan Mediterranean Palma de Mallorca oleh polis Sepanyol, kata pasukan polis Guardia Civil Sepanyol dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada masa itu. – SUMBER: Foto AFP