JADON Sancho menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Manchester United menewaskan Leicester City 1-0 di Stadium King Power, semalam, untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut.
Selepas permulaan musim yang hambar, skuad bimbingan Erik ten Hag, lebih yakin berbekalkan kemenangan Liga Perdana ke atas Liverpool dan Southampton. Pada masa sama, dua tonggak Harry Maguire dan Cristiano Ronaldo tersisih daripada kesebelasan utama untuk perlawanan ketiga berturut-turut.
United membenam Leicester melalui serangan balas pantas di pertengahan separuh masa pertama apabila Marcus Rashford menghantar bola melalui barisan belakang tuan rumah kepada Sancho, yang mengelilingi penjaga gol Danny Ward dengan sentuhan pertamanya dan merembat bola ke dalam gawang kosong.
James Maddison hampir menjaringkan gol penyamaan untuk Leicester dengan sepakan percuma yang hebat, tetapi dinafikan oleh aksi cemerlang penjaga gol United, David De Gea.
Gol pembukaan itu meningkatkan keyakinan pelawat yang terus mengasak tuan rumah sepanjang baki 45 minit separuh masa pertama, namun hanya mampu mendahului 1-0 sebelum rehat.
Ten Hag memasukkan pemain baharu musim panas, Casemiro menggantikan Anthony Elanga sejurus sebelum minit ke-60 ketika Leicester memburu gol penyamaan.
Ronaldo yang tidak meninggalkan kelab pada penghujung jendela perpindahan semalam, masuk tidak lama selepas itu menggantikan Sancho dan memberikan Rashford peluang pada minit ke-82, tetapi sepakannya melepasi jauh beberapa minit kemudian.
“Kami perlukan skuad yang bagus. Terdapat banyak aksi perlawanan yang boleh dibincangkan. Sebaik sahaja Cristiano Ronaldo dan Casemiro semakin cergas, pasukan akan menjadi lebih baik. Kita bukan sahaja memerlukan pasukan, kita perlukan skuad,” kata Ten Hag.
Leicester mempunyai peluang lewat permainan untuk menyamakan kedudukan, tetapi pemain pertahanan, James Justin meledak tinggi dan tersasar jauh ketika United mengutip kemenangan berturut-turut di tempat lawan.
Manchester United melonjak ke tangga kelima Liga Perdana dengan sembilan mata, satu mata di depan pencabar Liverpool. Leicester yang hanya meraih satu mata daripada lima perlawanan pula di kedudukan tercorot.- AGENSI