ALOR SETAR | Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) tetap berpendirian bahawa kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO tidak pernah ‘mati’ dan akan terus disuburkan menerusi rundingan semasa.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata MN tidak pernah ‘mati’ cuma mungkin kenyataan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terus mahukan mereka bergerak solo menyebabkan MN dilihat seperti sudah ‘mati’.
“MN tak pernah mati, tiada siapa pun yang mentalkin MN cuma mungkin di pihak UMNO dan BN yang hendak bertanding solo sebagainya.
“Kami di pihak PAS sentiasa menyebut bahawa rundingan demi menyelamatkan negara daripada ditadbir Pakatan Harapan (PH) wajib untuk diteruskan dan mungkin perkembangan ini (kerjasama MN) akan ditanya sampai bila. “Jadi ia akan sampai pada hari penamaan calon kelak dan usaha ini akan diteruskan serta diusahakan terutama bagi 20 hingga 27 kerusi kritikal yang dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh UMNO atau PAS sekiranya dapat dielakkan daripada bertembung satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menutup Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) di sini hari ini.
Katanya, PAS sentiasa terbuka untuk perundingan dengan UMNO terhadap 27 kerusi kritikal yang disebutkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika merasmikan muktamar sayap berkenaan semalam.
“Walaupun ada perwakilan Pemuda PAS yang mahu 27 kerusi kritikal ini diberi nama sebagai kerusi MN, bagi kami itu adalah soal kedua.
“Apa yang perlu berlaku adalah terpulang pada perundingan antara PAS dan UMNO.
“Jika rundingan ini tidak dilakukan, ia berisiko untuk terus dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang dan sudah tentu, ia satu kerugian besar bagi PAS dan UMNO,” katanya. Ditanya mengenai taburan 27 kerusi kritikal yang ingin dirundingkan PAS dan UMNO itu, Ahmad Fadhli berkata, berkemungkinan besar ia bukanlah kerusi yang datang dari negeri dimenangi PAS iaitu Kelantan dan Terengganu.
“Semua 27 kerusi ini adalah cukup fleksibel dan ia sudah tentu bukanlah negeri yang dimenangi walaupun satu kerusi sekalipun oleh PH seperti Terengganu dan Kelantan.
“Boleh jadi 27 kerusi ini di Kedah dan Perak, tetapi senarainya akan dikeluarkan jabatan pilihan raya parti bila tiba masanya nanti,” katanya.
Terdahulu, DPPM meluluskan tiga usul termasuk dua yang tidak dibahaskan dalam muktamar itu merangkumi soal 30 peratus calon muda PAS yang akan ditampilkan dalam PRU akan datang, tiada kerjasama dengan PH serta isu semasa antarabangsa.
Ahmad Fadhli menjelaskan soal 30 peratus calon muda PAS itu akan dibawa dan dibahas ketika Muktamar PAS ke-68 yang akan berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut bermula esok.
Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Naib Ketua Pemuda PAS, Hanafi Zulkafli.- BERITA HARIAN