SUNGAI PETANI | Perwakilan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dari Kelantan, Lau Chin Chua mengusul PAS menggunakan logo bulan purnama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau mencadangkan Kelantan, Terengganu dan Kedah mengekalkan penggunaan logo PAS bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pengundi.
“Nampaknya belum muktamad dalam penggunaan logo pilihan raya. Kita sekarang mentadbir negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Kita mahu tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu memakai logo PAS dalam pilihan raya nanti.
“Kita bimbang penggunaan logo PN boleh mengelirukan pengundi-pengundi tua. Mereka tidak tahu mana satu antara logo PN atau BN, ini kerana warnanya hampir sama,” katanya ketika membentang usul tersebut pada konvesnyen DHPP di Dewan Ghani dekat sini, semalam.
Menurutnya juga perlu diambil iktibar daripada kekalahan calon PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor di mana ketika itu bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Oleh itu beliau berharap Senator (Balasubramaniam) selaku pengerusi DHPP menyampaikan usul tersebut, di mana DHPP Kelantan mahu logo Bulan Purnama dijadikan logo pilihan dalam pilihan raya nanti.
Beliau juga mencadangkan usul tersebut dikemuka dalam usul Muktamar PAS Pusat kali ke-68 yang berlangsung hari ini.
Terdahulu Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah merasmikan Konvensyen DHPP ke-7 yang turut dihadiri Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman dan Pantai Merdeka Ahmad Fadzli Hashim.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Setiausaha Perhubungan PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.