ALOR SETAR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung tidak lama lagi dianggap sebagai ‘bapa’ kepada segala pilihan raya di negara ini.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gambaran itu diberi ramai penganalisa politik yang menyifatkan PRU15 lebih mencabar.
Oleh itu katanya perwakilan yang hadir pada muktamar PAS hari ini harus mengambil kesempatan untuk menyumbang idea untuk menghadapi PRU tersebut sepanjang berlangsung Muktamar PAS Pusat kali ini.
“Saya percaya para perwakilan akan mengambil kesempatan muktamar ini untuk memberikan idea, buah fikiran dan juga pandangan bagaimana kita membuat persiapan organisasi pilihan raya.
“(Persiapan) kewangan, strategi, calon dan yang terpenting sokongan rakyat bagi kita mempertahankan kemenangan kerusi yang kita menangi dan sekali gus menambah bilangan kerusi yang boleh kita menangi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut hari ini.
Mengimbas perjalanan politik PAS selepas PRU14, beliau yang juga Pengerusi Panatia Muktamar kali ke-68 turut menzahirkan kesyukuran kerana rakyat memberi mandat kepada parti itu mentadbir Kelantan dan Terengganu.
“Kemudian kita berjaya menerajui semula Kedah sejak Mei 2020. Seterusnya kita berada dalam kerajaan Persekutuan berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada akhir Februari 2020.
“Alhamdulillah PAS juga diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang diterajui Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya.
Tambah beliau juga walau pun kerajaan pusat sekarang bukan lagi ditadbir Muhyiddin, namun PAS masih berada dalam Kerajaan Persekutuan.
Kata beliau juga mengambil kira keadaan ketidaktentuan halatuju politik negara sekarang menuntut PAS dan Perikatan Nasional mengkaji tentang masa depan parti ini bagi menghadapi PRU15.