Mahkamah di Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas bekas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, atas kesalahan penipuan undi pada pilihan raya 2020 yang menyaksikan partinya mencatat kemenangan besar.
“Suu Kyi dihukum penjara tahun dengan kerja keras,” menurut sumber sambil memaklumkan bahawa penerima anugerah Nobel Laureate berusia 77 tahun itu dilihat sihat.
Sebelum ini, Suu Kyi yang ditahan sejak rampasan kuasa oleh tentera pada tahun lalu, disabitkan dengan kesalahan rasuah serta sejumlah pertuduhan lain oleh mahkamah tertutup, dan dihukum penjara selama 17 tahun.
Pihak tentera mendakwa berlaku penipuan undi secara meluas pada pilihan raya November 2020 yang dimenangi parti Suu Kyi, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), walaupun pemerhati antarabangsa menyifatkan pilihan raya itu sebagai rata-ratanya bebas dan adil. Tentera kemudian membatalkan keputusan pilihan raya itu, dan mendakwa berjaya membongkar lebih 11 juta contoh penipuan undi.
Bulan lalu, ketua junta, Min Aung Hlaing, dilaporkan berkata pihak tentera sudah bersikap ‘lembut’ terhadap Suu Kyi, sedangkan boleh mengambil ‘tindakan lebih serius’ ke atasnya.
Selepas menggulingkan kerajaan Suu Kyi, pihak junta telah mengisytiharkan darurat dan pernah dilaporkan berkata pilihan raya akan diadakan dengan perintah darurat ditarik balik pada Ogos 2023.
Dalam ucapan disiarkan pada bulan lalu, Min Aung Hlaing tidak menyebut sebarang tarikh untuk pilihan raya baharu, namun berkata ia hanya boleh diadakan apabila negara ini ‘aman dan stabil’, selain menekankan bahawa ‘pembaharuan’ perlu dilakukan terhadap sistem pilihan raya.
Bulan lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan pula memaklumkan, 92 parti politik berdaftar di Myanmar perlu memohon kebenaran sekiranya mahu berjumpa dengan individu atau organisasi asing.
“Parti politik perlu menghormati undang-undang. Jika gagal berbuat sedemikian, pendaftaran parti mereka akan dibubarkan,” menurut suruhanjaya itu. – SUMBER: AFP