SIK | Usahawan wanita yang berjaya boleh memainkan peranan sebagai penggerak dalam usaha membantu wanita lain mencapai kejayaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sesuatu program yang dijalankan oleh kerajaan bagi memperkasakan wanita tidak harus terhenti di suatu tahap sahaja, sebaliknya perlu diteruskan oleh mereka yang berjaya agar lebih ramai lagi wanita mendapat manfaat.
“Apa yang penting ialah untuk mewujudkan dalam masyarakat, sokongan dari wanita (yang berjaya) kepada wanita lain, supaya wanita ini ada rakan-rakan yang boleh sama-sama membantu ketika suka dan duka.
“Ini kerana dalam keadaan kita menghadapi dugaan dan cabaran, tidak ada orang yang nak membantu… sebab itu perlu untuk usahawan wanita yang berjaya menjadi penggerak kepada wanita lain,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai Program Wanita Bangkit@KPWKM yang dilancarkan sejak 1 September tahun lepas Rina berkata, sehingga kini ia telah memanfaatkan lebih 47,000 wanita di seluruh negara.
“Ramai wanita yang mendapat manfaat menerusi program ini termasuklah ibu tunggal, ibu tinggal, suri rumah serta mereka yang terkesan akibat wabak Covid-19 dan rata-rata mereka mempunyai semangat untuk merubah kehidupan ke arah yang lebih baik,“ katanya.