KUALA TERENGGANU | Pengendali Melaka United FC (MUFC), Asri Ninggal enggan melayan soalan berkenaan baki tonggak importnya selepas hanya menurunkan seorang tenaga asing ketika berdepan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.
Malah dalam senarai pemain simpanan, empat lagi tonggak import skuad Hang Tuah itu – Sony Norde, Adriano Narcizo, Justin Baas dan Emmanuel Oti juga tidak ada sekali gus menimbulkan persoalan.
Berdasarkan riak wajahnya, jurulatih berpengalaman itu dilihat tidak mahu berbicara mengenai pemain importnya selain jelas kecewa kerana hanya mampu menurunkan penyerang berbisanya, Ifedayo Olusegun.
Berikutan itu, jentera serangan skuad MUFC dilihat tumpul dengan hanya tiga percubaan tepat dimiliki skuad Hang Tuah itu ketika pasukannya mudah diratah skuad kendalian Nafuzi Zain, 5-0.
“Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu (baki pemain import), sebelum ini kita beraksi dengan baik.
“Tapi malam ini (malam tadi) kita perlu beraksi dengan pemain yang ada tanpa pemain import yang lengkap, jadi kita gagal mempamerkan aksi sebenar,” kata Asri.
Mengulas tentang kekalahan memalukan itu, beliau menerimanya dengan hati terbuka walaupun mengakui terkilan selepas gagal mendapat keputusan yang positif di tempat lawan.
“Saya perlu terima kekalahan besar pada malam ini (malam tadi) dengan hati yang terbuka kerana kita bermain dengan hanya seorang pemain import berbanding TFC membariskan lima import.
Mereka (TFC) bermain dengan baik ditambah moral mereka tinggi menjelang aksi final Piala FA Sabtu ini.
“Kemenangan TFC ini juga kerana pemain kami tidak beraksi sebagaimana yang diharapkan, dan kekuatan kita bukan kekuatan sebenarnya.
“Namun mereka sudah mencuba yang terbaik.Sebagai jurulatih, perasaan terkilan tetap ada sebab kami tidak mendapat keputusan yang positif walaupun sebenarnya kita tahu beraksi dengan TFC bukan tugas yang mudah, lagipun momentum mereka tinggi,” katanya.
Dalam perlawanan itu, penyerang sensasi TFC, Kipre Tchetche hanya mengambil masa 13 minit untuk mencipta hatrik manakala dua gol lagi disumbangkan oleh rakan seposisinya, Kpah Sherman dan pemain sayap pinjaman Selangor FC, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim. SUMBER: BERITA HARIAN