SIK | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan Muktamar Tahunan Pas Ke-68 amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, besar harapan beliau agar muktamar ini bukan sahaja menjadi medan bagi memperkukuhkan parti Pas tetapi juga memperkuatkan PN.
Katanya, ianya khusus dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.
“Saya bagi pihak PN dan BERSATU mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan muktamar tahunan kali ini.
“Muktamar kali ini amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk PN bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka diadakan pada tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau yang juga Pengerusi PN mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di atas ucapan dasar beliau yang selari dengan matlamat perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, berintegiriti dan bebas rasuah ke arah mewujudkan Malaysia Sejahtera.
“Saya turut terharu mendengar komitmen dan iltizam berterusan Pas bagi memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam PN seterusnya menetapkan hala tuju yang lebih jelas bagi menghadapi pilihan raya.
“Sebagai rakan dalam komponen PN, BERSATU menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh saf kepimpinan Pas dan para perwakilan demi kebaikan bersama,” katanya.