PUTRAJAYA | Jabatan Imigresen mengutip RM3.5 bilion bagi hasil negara setakat 30 Ogos lalu berbanding RM2.5 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Beliau berkata, hasil itu berjaya dicapai sebelum hujung tahun ini susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.
Katanya, levi pekerja asing menyumbang kutipan terbesar kepada jabatan itu dengan kemasukan 1.35 juta pekerja asing ke negara ini, diikuti pengeluaran dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa serta kompaun yang dikenakan kepada individu melanggar undang-undang ditetapkan jabatan itu.
“Pembukaan semula sempadan negara mempercepatkan kita mencapai sasaran kutipan daripada jangkaan asal bagi sepanjang 2022. Ini kutipan hingga Ogos lalu saja, jadi (kutipan) untuk bulan akan datang (September hingga Disember) akan menjadi bonus.
“Dengan prestasi yang agak baik ini, saya harap Kementerian Kewangan (MOF) boleh memberi sedikit bonus kepada kakitangan Jabatan Imigresen,” katanya pada sidang media selepas menyertai Immigration Run 2022 di sini, hari ini.
Susulan prestasi kutipan itu, beliau tidak menolak kemungkinan pihaknya mampu mencapai kutipan RM4 bilion menjelang hujung tahun ini dengan pengenalan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia.
PVIP dilancarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Khamis lalu bagi menarik minat hartawan global melabur serta menetap di negara ini bagi tempoh 20 tahun, dan akan dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober ini.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan pada 7 Ogos lalu bagi menyiasat dakwaan insiden membabitkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sehingga kini, katanya, pegawai Imigresen KLIA memberikan kenyataan dan maklumat tambahan kepada jawatankuasa terbabit dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi menyiasat insiden dilaporkan berlaku pada 3 Ogos lalu.
“Tidak banyak maklumat yang boleh saya berikan, cuma apa yang saya boleh maklumkan adalah pegawai saya selesai memberikan keterangan dan bekalkan maklumat berkaitan kepada jawatankuasa terbabit,” katanya.
Pada 3 Ogos lalu, seorang pegawai yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA didakwa dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan.
Susulan dakwaan itu, Kabinet mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menubuhkan jawatankuasa pada peringkat dalaman bagi menyiasat insiden membabitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah. – SUMBER: BERNAMA