PETALING JAYA | Jurulatih dari Eropah, Korea Selatan dan Jepun antara yang menarik perhatian Kelantan FC untuk memimpin The Red Warriors (TRW) apabila kembali bersaing dalam liga utama bola sepak negara, Liga Super musim depan.
Selain bakal diperkuatkan dengan pengendali lebih ‘antarabangsa’, dan hampir pasti membawa masuk ramai muka baru, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman juga mempunyai perancangan besar, membina stadium sendiri.
“Ada perubahan ketua jurulatih. Kita sedang pertimbangkan beberapa negara Eropah dan juga Asia, mungkin dari Korea Selatan atau Jepun.
“Saya perlu berbincang mengenai perkara ini dengan pengurusan bagi mendapatkan pandangan dan nasihat untuk menggunakan jurulatih mana satu,” katanya selepas Majlis Tandatangan Pemilikan Saham TRW Kelantan FC di Kuala Lumpur kelmarin.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, pasukan yang kini memburu gelaran juara Liga Perdana itu juga akan memiliki sebuah stadium yang ‘comel’.
“Kita tinggal untuk membina stadium. Stadium pun tidak besar, mungkin kecil kerana apa yang lebih penting adalah kita ada cita cita.
“Kita akan melawat satu tapak tanah 40 ekar di Kelantan tetapi saya tidak boleh sebut di kawasan mana kerana masih dalam proses memuktamadkan perkara itu dengan kerajaan negeri,” katanya.
Pada musim ini, Kelantan FC menggunakan khidmat jurulatih tempatan yang juga bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya.
Rezal hanya memiliki lesen kejurulatihan A tidak menepati kriteria jurulatih Liga Super yang memerlukan mereka memiliki lesen kejurulatihan Pro A seperti ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). SUMBER: UTUSAN