ALOR SETAR | Pas memberi ‘lampu hijau’ kepada pimpinan-pimpinan dan ahli parti di semua peringkat untuk menyerang Pakatan Harapan (PH) dengan maklumat yang akan dibekalkan dan tidak lagi bersikap defensif apabila diserang pihak lawan.
Ketua Penerangan Pas, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, kini tiba masanya untuk pemuda parti itu khususnya yang mahu menunjukkan ‘kejantanan’ bagi mempertahan Pas agar menjawab semula kritikan terhadap pimpinan atau parti sekiranya dirasakan wajar.
“Bab salah atau tidak kami back up (bantu), kalau silap itulah pemuda. Begitu juga muslimat, nak jawab silakan kalau silap kita tegur, kalau tak silap jalan (teruskan). Kalau ada keperluan untuk kita buat kenyataan back up, kita akan buat.
“Tapi itulah pertimbangan dinamik kita perlu ambil, nak serang tak serang? Nak jawab tak jawab? Cuma apa yang dipesan Presiden kepada Penerangan bahawa kita tak boleh lagi dalam mood defensif, saya seru semua perwakilan kita bawa mood ofensif, serang DAP dan PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.
Khairil Nizam berkata, pihaknya juga akan membekalkan semua data tentang perlakuan DAP yang boleh digunakan dalam apa jua keadaan bagi memastikan rakyat tahu apa yang dilakukan parti itu dan sekutu-sekutunya.
“Kita juga melakukan program yang bersifat mingguan dan bulanan supaya mujahid siber mendapat maklumat-maklumat terkini. Saya amat setuju dengan Perak supaya perlunya ada bank isu, kita akan uruskan. Buat masa ini setiap minggu kita adakan pertemuan bersama mereka dengan Menteri dan Timbalan dari Pas,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, soal menjawab atau tidak sebenarnya memerlukan pertimbangan sewajarnya yang merupakan seni yang datang dengan maklumat.
“Semalam rakan sejawat saya (dalam UMNO) Shahril Hamdan ada beri kritikan pedas kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Kita nak jawab atau tak? Semalam juga Presiden UMNO beri kritikan pedas kepada Tuan Guru tentang ucapan dasar, kita nak jawab tak?
“Kita resah dengan Presiden UMNO tetapi beliau dalam proses mahkamah. Dinamik politik UMNO juga bergantung kepada kes-kes mahkamah yang sedang dilalui pemimpinnya,” katanya. – SUMBER: UTUSAN