Kuala Terengganu | Penjaga gol muda meningkat naik Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital ketika menentang Melaka United FC (MUFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.
Menerusi satu hantaran ringkas yang dimuatnaik dalam laman sosial, pengurus TFC, Mohd. Fadhil Wahab menjelaskan penjaga gol skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu sudah mulai sedarkan diri.
“Alhamdulillah, Abey (Rahadiazli) mulai sedar. Semoga cepat sembuh. Tahniah kepada pemain-pemain, tahniah kemenangan malam ini (malam tadi),” tulisnya di laman sosial Facebook. Rahadiazli tercedera selepas bertembung dengan pemain gantian skuad Hang Tuah, Harith Naem Jaineh pada minit ke-46 ketika dia cuba menyelamatkan bola di dalam kotak penalti.
Perlawanan kemudian terpaksa dihentikan hampir enam minit selepas anggota perubatan kedua-dua pasukan cuba memberi bantuan awal sebelum penjaga gol itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di sini.
Turut berkongsi berita gembira adalah penolong pengurus TFC, Zulfadli Rozi yang membuat ciapan dalam laman Twitter peribadinya selepas perlawanan malam tadi.
Beliau berkata, penjaga gol kelahiran Setiu berusia 21 tahun itu sudah berada dalam keadaan stabil setelah menjalani imbasan dan rawatan awal selain sudah sedarkan diri.
Penjaga gol berketinggian 1.92 meter yang beraksi cemerlang ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Selangor pada Ogos lalu juga sudah boleh berkomunikasi dengan jelas.
“Perkara pertama yang dia (Rahadiazli) tanya, adakah kita menang perlawanan tadi? Saya jawab semua pemain beraksi demi anda dan ya, kita menang. Namun doktor masih memantau keadaannya,” tulisnya.
Pada aksi Liga Super itu, TFC berpesta gol selepas melakar kemenangan 5-0 dengan penyerang sensasi, Kipre Tchetche meledak hatrik manakala dua gol lagi dihasilkan penyerang kelahiran Liberia, Kaph Sherman dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim. SUMBER: METRO