BUKIT GANTANG | Antara rahsia kemenangan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Parlimen Bukit Gantang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah kerana beliau mengamalkan politik khidmat di kawasannya.
Syed Abu Hussin mendedahkan perkara ini semasa pelancaran buku “Menang 4-0 Ketika Ramai Yang Kalah” yang mendokumenkan bagaimana beliau menjalankan kempen pilihan raya untuk mencapai kemenangan.
Majlis pelancaran buku diadakan di Bukit Gantang hari ini.
Menurut Syed Abu Hussin, buku tersebut diterbitkan untuk membolehkan beliau berkongsi pengalaman dengan jentera pilihan raya.
Syed Abu Hussin menegaskan bahawa penyumbang utama kemenangan beliau ialah politik khidmat yang diamalkan, selain kesatuan gerak kerja jentera pilihan raya yang beliau pimpin.
Sebelum ini, Syed Abu Hussin merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dan beliau menyertai BERSATU selepas memenangi pilihan raya umum ke-14.
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika menjadi antara panel jemputan mengulas buku itu berkata kemenangan Syed Abu Hussin yang mewakili UMNO pada masa itu adalah unik kerana ia berlaku pada ketika seluruh negara mengalami tsunami penolakan terhadap UMNO.
Turut hadir menjadi panel, adalah penganalisis Politik USM Professor Dr. Sivamurugan Pandian dan Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, Sri Murniati Yusuf.
Dalam pada itu, Wan Saiful berharap Syed Abu Hussin menyatakan bahawa BERSATU menganggap semua kerusi yang kini disandang oleh ahli parlimen BERSATU adalah kerusi-kerusi yang diberi keutamaan dalam PRU-15 nanti.
Sehubungan itu, Wan Saiful berharap seluruh jentera dapat digerakkan untuk mempertahankan kerusi Bukit Gantang bagi BERSATU dan Perikatan Nasional.
“Bilangan jentera pilihan raya yang hadir melebihi 500 orang hari ini menjukkan gelombang kemenangan semakin nyata,” katanya.