KUALA LUMPUR | Piala Dunia 2022 hanya akan bermula pada hujung November, namun ‘demamnya’ sudah mula dirasai apabila Qatar Airways menghangatkan lagi temasya itu menerusi program ‘pop-up’ interaktif bermula Jumaat hingga hari ini di Pavilion Kuala Lumpur.
Program terbabit memberi peluang kepada peminat untuk bersaing bersama pemain bola sepak bertaraf dunia dari Brazil, Neymar Jr bagi menguji kemahiran mereka selain menyingkap sejarah Qatar dan Piala Dunia 2022 dengan lebih lanjut.
Selain itu, peminat juga boleh berkongsi pengalaman mereka pada program ‘pop-up’ ini di media sosial dan berpeluang memenangi pakej lawatan ke Piala Dunia 2022 yang turut bersertakan tiket-tiket perlawanan.
Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar Al Baker berkata selau rakan penerbangan rasmi, pihaknya berhasrat utuk menyemarakkan lagi kemeriahan temasya yang sudah pastinya amat dinantikan peminat di negara ini.
“Sementara Qatar bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, kami sebagai rakan penerbangan rasmi akan terus menyuntik semangat dan keterujaan buat para peminat bola sepak di seluruh dunia dengan pelbagai cara.
“Kami ingin mengalu-alukan para peminat yang merancang untuk datang ke temasya pada bulan November sehingga Disember dan program pop-up di Kuala Lumpur, akan membolehkan lebih ramai peminat merasai keghairahan pertandingan ini sebelum ia membuka tirai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi mereka yang ingin menempah tempat duduk, Qatar Airways mempelawa peminat untuk memilih pakej lawatan rasmi Qatar Airways meliputi tiket penerbangan pergi balik, tiket perlawanan dan juga tempat penginapan.
Sebagai rakan penerbangan rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak 2017, Qatar Airways sudah menaja acara seperti Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Arab FIFA bagi edisi tahun 2019 dan 2020 yang dilangsungkan di Qatar.
Berbekalkan harapannya untuk menyatukan masyarakat menerusi sukan, Syarikat Penerbangan Terbaik di Dunia ini memiliki portfolio kolaborasi sukan yang menyeluruh di peringkat global.
Bukan setakat terbabit dengan badan penyelia bola sepak seperti FIFA, CONCACAF dan CONMEBOL malah mereka turut menaja pasukan terkemuka seperti Paris Saint Germain (PSG), Bayern Munich dan Al-Sadd SC.