ALOR SETAR | Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) sangat signifikan dengan Sabah kerana majoriti yang menghuni koloni setinggan dalam kalangan mereka.
Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah ketika membahaskan usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Titiwangsa dalam Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.
Katanya, PAS Sabah menggariskan tiga masalah utama yang perlu ditangani segera pihak kerajaan iaitu berhubung soal ancaman keselamatan di perairan negeri itu yang datang daripada kumpulan yang menuntut negeri itu.
“Ancaman kesihatan juga menjadi isu utama kerana ramai PATI tidak mendapat vaksin yang boleh menyebabkan mudah tersebar virus,” ujar beliau.
Selain itu, katanya masalah ekonomi juga perlu diatas kerana dengan lambakan warga asing itu hanya memfokuskan kelangsungan hidup daripada kemewahan.
“Hal demikian akhirnya boleh mengundang masalah kewangan sehingga boleh membawa kepada berlakunya jenayah mencuri dan lain-lain,” tambah beliau.
PAS negeri juga, katanya mencadangkan agar pejabat konsulat Filipina perlu diwujudkan di Sabah seperti konsulat Indonesia yang ada di Tawau dengan mengambil kira Indonesia dan Filipina sangat dekat dengan negeri itu.
“Saya tertarik dengan Indonesia yang membina pejabat konsul di Sabah untuk mengurus kebajikan rakyat Indonesia dengan memberikan pendidikan kepada anak-anak rakyat Indonesia yang bekerja dengan membina Sekolah Indonesia di Sabah (SIKK),” jelasnya.
Oleh itu, ujarnya jika masalah itu tidak ditangani serius pihak kerajaan maka rakyat akan terus berada dalam igauan ngeri dengan polemik sosial yang tiada kesudahan.
Usul itu diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan.