TUMPAT | Laman Warisan Kampung Laut yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berupaya melonjat ekonomi penduduk tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, projek terbabit yang melibatkan peruntukan RM40 juta siap sepenuhnya pada Jun lepas.
Katanya, lokasi terbabit merupakan pusat pelancongan baharu di Kelantan sehingga menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
“Projek ini dibangun secara mampan dengan mengekalkan warisan sedia ada di Kampung Laut. Selain itu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat menerusi produk-produk makanan tradisional dan kraftangan.
“Di sini menempatkan seramai 23 usahawan tempatan yang mengusahakan perniagaan kecil dan terdapat 23 outlet di Laman Seni Kampung Laut.
“Laman Warisan Serunding menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan sehingga 100 orang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Laman Warisan, semalam.
Menurutnya peniaga yang menjalankan perniagaan mendapat manfaat daripada projek yang diselenggara Majlis Daerah Tumpat dengan kerjasama ECERDC.
Pembangunan Kampung Laut merupakan salah satu inisiatif ECERDC untuk mengekalkan tradisi perkampungan, di samping meningkatkan taraf ekonomi dan sosio penduduk setempat melalui peluang keusahawanan.
Di lokasi itu juga terdapat Masjid Kampung Laut iaitu masjid kayu tertua yang berusia 400 tahun. Mempunyai seni bina yang unik seperti kolam air, batu nisan dan belindan yang diukir daripada batu granit.