MACHANG | Seorang pesara polis maut selepas kenderaan yang dipandu terbabit dalam kemalangan di Jalan Labok-Banggol Judah, dekat Kampung Gendang Lima di sini, semalam.
Kemalangan 4.10 petang itu menyebabkan mangsa, Mohd Rujudi Awang, 55, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah berkata, ketika kejadian, kereta jenis Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah Banggol Judah menuju ke arah Kota Bharu.
Katanya, apabila sampai di Jalan Labok-Banggol Judah, tiba-tiba mangsa yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dari arah bertentangan iaitu Labok dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan terus merempuh bahagian depan Honda Civic.
“Pemandu Toyota Alphard disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.