KOTA BHARU | Polis menerima tiga laporan polis membabitkan kejadian rogol tiga pelajar sekolah menengah di Kota Bharu masing-masing pada 2 dan 3 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dua daripada kejadian rogol itu berlaku di kawasan sekolah yang sama dengan membabitkan mangsa dan suspek yang berbeza.
Katanya, berdasarkan siasatan yang dijalankan mendapati kejadian yang dilakukan secara sukarela bersama pasangan kekasih masing-masing.
“Tiga suspek yang terlibat telah ditangkap dan dua daripadanya adalah pelajar sekolah menengah serta kelindan lori berusia antara 17 tahun dan 19 tahun.
“Hasil ujian saringan awal dadah ke atas suspek dapati negatif dadah dan tiada rekod lampau dan mereka direman bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan sebatan.
“Sementara itu, kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, pelbagai usaha dan inisiatif akan dijalankan oleh pihak polis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dengan mengadakan kempen kesedaran jenayah dan ceramah yang dijalankan di peringkat sekolah-sekolah.
Pihak Polis juga ingin menasihatkan kepada masyarakat di luar sana khasnya ibu bapa untuk memantau kegiatan atau aktiviti anak masing-masing.